PEMBUATAN TEMBAGA DI LADANG



Perusahaan tembaga di negara ini kebanyakannya berpusat di pantai timur Semenanjung iaitu di Kelantan dan Terengganu. Tukang-tukang tembaga yang mahir dikenali sebagai 'pandai tembaga'. Di Daerah Kuala Terengganu, antara tempat yang popular dalam pembuatan kraftangan tembaga ialah di Kampung Ladang, antara seni pembuatan kraftangan tembaga yang berkualiti dan menarik.

Proses Pembuatan ialah dengan membakar tembaga cair pada suhu yang lebih rendah berbanding besi, iaitu kira-kira 1000 darjah celcius. Ini menjadikan tembaga lebih mudah dibentuk. Kraftangan tembaga di Malaysia dihasilkan melalui dua kaedah utama iaitu acuan penghapusan lilin dan goresan timbul.

Acuan Penghapusan Lilin. Teknik ini boleh dibahagikan kepada empat langkah;

Pembentukan - proses membentuk kayu untuk dijadikan asas acuan dan merangka bentuk dan corak barang yang akan dihasilkan.

Membuat Acuan - Proses membuat kelonsong atau teras bentuk barang yang diingini. Acuan dicelup ke dalam lilin berulang kali mengikut ketebalan yang dikehendaki. Kemudian lilin dilarik supaya seimbang dan sama rata, sesuai dengan bentuk luar barang itu. Lilin yang telah siap dilarik, ditampalkan dengan tiga lapisan tanah liat halus.

Lebur/Menuang - Proses mencairkan campuran logam dan memasukkannya ke dalam acuan. Tembaga dileburkan di dalam bekas khusus menggunakan api dapur yang dipanggil relau. Api relau juga digunakan untuk mencairkan lilin di dalam tanah liat halus. Lilin cair itu dituang keluar, meninggalkan rongga yang membentuk acuan. Dalam satu variasi teknik ini, lilin acuan dibalut dengan campuran tanah liat, pasir dan sekam padi. Apabila acuan dibakar , lilin mencair dan menyerap ke dalam campuran pembalut itu. Cairan tembaga lebur dituangkan ke dalam acuan itu dan ditinggalkan hingga sejuk dan membeku. Kemudian, tanah liat yang dijadikan acuan itu dipecahkan untuk mendapatkan barangan tembaga yang masih kasar permukaannya.

Mencuci/menggilap - Proses ini melibatkan kerja-kerja pengemasan yang merangkumi mencuci, memateri,mengikis dan menggilap. Tompok-tompk hitam dan logam yang berlebihan pada barang yang dikeluarkan dari acuan, dikikis hingga bersih. Ciri-ciri yang tidak dapat dibentuk di dalam acuan, dipaterikan. Kemudian barang itu digosok dengan kertas pasir dan digilap dengan sejenis kimia yang memberikan kemasan halus dan berseri.
 



Keindahan@Terengganu Copyright © 2009 Keindahan Terengganu is Designed by Widget Islamic