HUTAN LIPUR TANJUNG GADUNG
Terletak 11 km dari Bandar Dungun melalui Jalanraya Dungun-Kuala Terengganu, 70 km dari Kuala Terengganu, sememangnya sentiasa menanti kunjungan anda.
Hutan Lipur Tanjung Gadung terletak di Hutan Simpan Bukit Bauk, Daerah Dungun. Hutan lipur ini mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Bukit Pantai yang kaya dengan spesies Meranti dan Balau pasir. Beberapa kemudahan seperti wakaf, pondok rehat dan bangku rehat serta beberapa kemudahan asas disediakan di Hutan Lipur ini.
Hutan Lipur ini berada di persisiran pantai dan menghadap Laut China Selatan. Ia sesuai untuk aktiviti mandi-manda, berkelah, berkhemah dan trekking. Di sini juga pengunjung boleh bersiar-siar dan melihat hidupan liar. Selain itu, pengunjung yang datang ke sini juga boleh menggunakan kemudahan jeti memancing yang turut disediakan. Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam seperti bas atau teksi dari Bandar Dungun.