SONGKET TERENGGANU



Songket, lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Kemahiran dan kreativiti tukang tenun terserlah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik.

Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah Melayu telah menggiatkan lagi perkembangan tenunan tempatan. Tenunan songket mula berkembang dibeberapa negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Di Terengganu tempat yang popular dalam pembuatan songket antaranya ialah di Daerah Kuala Terengganu. Pembuatan songket banyak diusahakan oleh suri-suri rumah yang melakukannya sebagai kerja sampingan di rumah. Kain songket yang dihasilkan akan dijual kepada pemborong-pemborong songket yang sentiasa mencari songket-songket yang berkualiti. Antara tempat-tempat yang popular dalam penghasilan songket di Daerah Kuala Terengganu ialah Pasir panjang,Wakaf Mempelam,Chendering dan lain-lain.

Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang. Secara tradisi, songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan Bangsawan.

Kini, songket ditenun dengan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis tertentu.

Keanggunan kain songket, selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk mempermanis dan memperaga seni budaya, ia juga turut diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk beg, bingkai gambar, hiasan dinding, kusyen dan sebagainya.
 



Keindahan@Terengganu Copyright © 2009 Keindahan Terengganu is Designed by Widget Islamic